Bulan Muharam

Desktop Calendar

Pada 1 Muharam, Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah. 10 Muharam yang dinamakan juga hari `Asyura`, banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan `Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Muharam merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam (Hijrah). Ia merupakan tempoh yang menarik dan panjang, malah memberi pengajaran yang besar buat renungan umat Islam. Peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w, dari Mekah ke Madinah.

Ia permulaan dakwah Islam disebarkan secara terbuka oleh nabi dan para sahabat. Ia peristiwa yang memaparkan betapa antara hidup dengan mati, Islam dipertahankan walaupun terpaksa berhijrah meninggalkan yang sebelumnya untuk menuju satu titik kejayaan. Nabi dan umat Islam meninggalkan Mekah yang penuh dengan ancaman puak kafir Quraisy, demi menyelamatkan agama.

Melalui peristiwa itu juga, Allah s.w.t memberitahu kepada umat Islam bahawa dakwah Islam bukanlah suatu hal yang mudah, malah menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Harta dan nyawa, menjadi pertaruhan yang besar bagi menguji keimanan umat Islam.

Itu peristiwa hijrah yang sering kita baca. Keistimewaan, peristiwa bersejarah, dan segala hal yang berkaitan bulan ini boleh di baca dengan mudah melalui catatan-catatan yang terdapat di internet atau bahan bertulis.

Walaupun ia tidaklah begitu banyak, masih mampu membuat kita terfikir, betapa hijrah yang berlaku di bulan Muharam merupakan kemuncak dakwah Islam dan pengorbanan umat Islam kepada agamanya.

Bulan Muharam, punya kisah yang panjang dan besar dalam sejarah Islam. Ia kisah yang bukan cerita-ceriti seadanya untuk jadi bahan pendengaran dan bacaan semata. Ia kisah yang menuntut fikiran dan hati yang besar untuk melakukan sesuatu. Penghijrahan adalah perjuangan, pengorbanan, perpaduan, dan persaudaraan.

Tidakkah itu cukup untuk membuatkan kita menyambut bulan Muharam dengan amalan yang disunatkan? Tidakkah semua peristiwa yang terkandung di dalam bulan Muharam ini juga membuat kita sedar, sambutan bagaimanakah yang harus ditunjukkan agar masyarakat Islam hari ini terus mengingati dan menghayati Islam sebaiknya? Dan tidakkah bulan yang penuh syafaat ini digunakan sebaiknya oleh umat Islam untuk mengukuhkan tiang agama?

Tahun baharu Masihi yang kita sendiri tidak tahu apa peristiwa yang berlaku disebaliknya (cuma pengiraan 365 hari), tetapi di sambut dengan penuh gemilang oleh umat Islam sendiri berbanding bulan Muharam, yang menjadi bulan pertama dalam kalendar Islam, menjadi tanda tanya yang tiada kesudahan. Pemikiran bagaimanakah umat Islam hari ini mengenai sejarah agama mereka sendiri?

Kalendar Islam yang terkandung di dalamnya 12 bulan, bukanlah bulan-bulan yang sekadarnya kita menghitung hari dan apabila tiba waktunya kita membuat sambutan yang besar-besar dengannya. Bulan-bulan yang mengiringi umat Islam penuh dengan peristiwa yang memberi pengajaran dan menguji keimanan umatnya.

Membiarkan sambutan Maal Hijrah berlalu dengan sepi tanpa apa-apa, berbanding dengan sambutan tahun baharu Masihi, menuntut sesuatu yang besar dari mereka yang terlibat seperti golongan agama yang tahu sejarah Islam. Juga menuntut sesuatu dilakukan oleh pemimpin yang beragama Islam di dalam sebuah negara Islam.

Sambutan yang diharap bukanlah sebesar dan sehebat-hebatnya. Cukuplah sekadar menghayati bulan Islam ini dengan aktiviti-aktiviti atau produk-produk yang membolehkan umat Islam tidak lupa sejarah agamanya. Memperbanyakkan bahan bacaan sempena Ma’al Hijrah, pakej pelancongan sempena Ma’al Hijrah, bengkel dan seminar tentang Ma’al Hijrah, produk-produk kecil dan besar seperti buku, dan perhiasan serta apa-apa juga bentuk perkara yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan sambutan Ma’al Hijrah boleh sahaja dilaksanakan demi mengembalikan umat Islam tentang sejarah agama.

Di situ, tarikan yang bukan sedikit mampu dilakukan supaya umat Islam tahu sejarah agamanya dan seterusnya menjadikan sejarah itu bekal untuk mengiringi tahun-tahun yang mendatang. Menyulami tahun-tahun baharu dengan semangat dan nilai baharu yang tercetus dari sejarah agama mereka. Itu yang perlu ditanam dalam jiwa sempena sambutan Ma’al Hijrah esok.
Nilai untuk berjuang demi agama. Berkorban demi agama. Bersatu-padu demi agama. Dan mengukuhkan silaturahim serta mengeratkan persaudaraan sesama agama.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: