Makin ramai lupa fadilat Aidiladha

kad raya aidiladha

 

AIDILADHA yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati perintah Allah. Ia juga simbol perpaduan
ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat
haji.
Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah. Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”
Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu ‘syariat’ seperti
ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara
kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat
(yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah Al Maidah, ayat 48)
Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti
sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama.
Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan
perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya
pertama, pada
sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.
Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat
hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari
raya,
diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan
ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas
solat sunat Aidiladha.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha
melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan
datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya.
Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu
jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat
korban yang kamu lakukan.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah
keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa,
terikut-ikut
atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging,
atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat
korban.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan
kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu
mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan
sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.”
(Surah Al-Haj, ayat 37)
Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14
Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan
diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa
bagi mereka yang kaya.
Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta
kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha.
Kegembiraan
meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah.
Ibadat korban mencerminkan dua perkara.
Pertama,
ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota
keluarga dan masyarakat.
Kedua,
ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.
Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang
prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang
disarankan
agama. Pada pertengahan Ramadan sudah berkumandang lagu raya seolah-olah
kita lupa sebenarnya ibadat berpuasa menuntut pengorbanan nafsu yang tinggi.
Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan menghidangkan
pelbagai rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di hadapan
televisyen
dan amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat handai makin
dilupakan.
Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan
tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi
mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak
berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.
Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk
menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah.
Wang
untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan
ibadat korban.
Kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan mengorbankan
seekor lembu yang dikongsi bersama ahli keluarga, kemudian daging korban
diberikan kepada orang miskin atau komuniti orang asli supaya dapat merasai
nikmat keimanan serta penghayatan Aidiladha.
Firman Allah yang bermaksud:
“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil)
menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan
korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil)
dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti
membunuhmu!
Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang
bertakwa.”
(Surah al-Maidah, ayat 27)
Umat Islam mesti mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama mengikut
konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau cerita di
sebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah.
Penulis ialah Bendahari Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia yang menguruskan
Dana Projek Cemerlang Korban secara on line yang boleh dilayari di
http://qurban-aqiqah.jim.org.my/1428
Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN 1:
Apakah kelebihan berpuasa pada hari Afarah?
JAWAPAN:
Terdapat beberapa hadis yang sahih menggalakkan orang Islam yang tidak ke
Tanah Suci Mekah supaya berpuasa pada hari Arafah. Di antara sabda Baginda
bermaksud:
Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka
Baginda bersabda:
“Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun
selepas.”
(riwayat Muslim).
Daripada Abi Qatadah daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud:
“Berpuasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada Allah
agar dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun
selepasnya.”
(riwayat Abu Daud, al-Nasie dan al-Tirmizi)
Yang dimaksudkan setahun sebelum ialah setahun sebelum 9 Zulhijjah dan
setahun selepasnya ialah setahun selepas 9 Zulhijjah, ini bermakna
penghapusan dosa
bagi dua tahun berturut-turut.
Dua hadis di atas, jelas bahawa sunat kita berpuasa pada hari Arafah di
dalam, Bab Puasa Sunat. Sebagai anak Adam kita tidak terlepas daripada
melakukan
dosa sama ada yang kita sedar ataupun tidak, kecil mahupun besar. Maka
dengan adanya peluang sebegini adalah untuk manusia mengambil peluang
bertaubat
dan menginsafi diri.
Bagi mereka yang ingin mengqada puasa wajibnya, sekiranya dia berpuasa pada
hari Arafah dengan niat qada, puasanya sah dan pada masa yang sama mendapat
ganjaran yang dijanjikan dalam hadis di atas. Ini tidak bermaksud
menangguhkan puasa wajib qada sehingga hari Arafah, ini kerana qada puasa
wajib perlu
disegerakan. Namun jika ada yang ingin mengqada tidaklah terlepas daripada
ganjaran yang dijanjikan. Kerana yang wajib itu sifatnya kulliy dan sunat
Arafah
ialah juz’iy. apabila kulliy bertemu dengan juz’iy, maka juz’iy ikut sekali.
Ini juga kerana adanya musaadafah bertemu yang wajib dengan sunat yang
mempunyai
fadilat, maka fadilat akan diperoleh oleh orang yang berpuasa pada hari
Arafah.
SOALAN 2:
Saya seorang lelaki gay tetapi dari luaran kelihatan seperti lelaki normal.
Seingat saya tidak pernah melalui pengalaman pahit sehingga menjadikan saya
begini. Sekarang umur saya hampir mencecah 30-an. Saya bukan seorang gay
yang
aktif tetapi pernah mempunyai pasangan sesama jantina.
Sejak kebelakangan saya mula berfikir hidup begini tidak ke mana (melukakan,
kesunyian dan kebanyakannya berorientasikan seks semata-mata) dan dilaknat
Allah. Apa yang harus saya lakukan?
JAWAPAN:
Apa yang berlaku dan kecenderungan saudara adalah sesuatu yang tidak normal
bagi seorang lelaki. Allah s.w.t. menjadikan pasangan bagi manusia adalah
kaum
lain jenis, lelaki sukakan perempuan dan begitu sebaliknya. Ini yang
dinamakan fitrah tabie manusia. Apabila seorang lelaki atau seorang
perempuan sukakan
jenis yang sama, malahan sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi
agama. Puncanya manusia hilang hala tuju kehidupan yang sebenar. Setiap
orang
perlu melihat kepada asal usul kejadiannya.
Jika dilahirkan sebagai seorang lelaki maksudnya Allah mahukan dia menjadi
lelaki dengan memenuhi segala ciri yang perlu ada pada seorang lelaki, ini
termasuklah
persoalan kecenderungan nafsu. Lelaki suka dengan perempuan adalah normal
tetapi apabila lelaki suka pada lelaki itu sudah tidak normal.
Cuba lihat kepada perkataan “tidak normal”,
apa perasaan saudara bila saudara tergolong dalam golongan tidak normal?
Maksudnya tidak seperti lelaki-lelaki
lain, pelik, buruk perangai, orang tak suka, Allah murka. Orang yang
tabiatnya tidak normal hebat atau hina? Punca yang lain ialah gagal mengawal
nafsu.
Sedangkan nafsu dalam banyak keadaan mengajak manusia melakukan
perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak fitrah.
Nafsu perlu dikawal, perlu dibenteng dengan amal ibadat. Di antara amalan
yang dapat mengawal nafsu ialah memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran,
bersedekah,
solat berjemaah, hadir majlis-majlis ilmu. Ini di antara imunisasi sebagai
antibodi bagi mengawal nafsu.
Seterusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh daripada melibatkan apa sahaja
aktiviti yang boleh mengundang kepada rasa minat kepada kaum sejenis. Ada
kalanya
cara berfikir juga mempengaruhi perasaan seseorang, suka berfikir dan
berkhayal menjadi punca berikutnya seseorang itu merangsang minatnya pada
kaum sejenis.
Saya yakin perkara sebegini tidak akan berlaku kepada orang yang berfikiran
positif.
Apa dikhuatiri ialah bila sesuatu perkara yang tidak baik sudah dianggap
alah bisa tegal biasa. Sudah seronok, tak peduli dengan hukum Allah, tak
kisah
kalau Nabi tak mengaku umat, tak kisah bercanggah dengan adat.
Saudara masih belum terlambat, keinginan saudara untuk berubah sudah ada,
bila saudara mahu bertanya tanpa berselindung adalah gambaran awal saudara
mahu
berubah. Di dalam al-Quran dan hadis banyak menceritakan mengenai kaum Nabi
Lut a.s. Firman Allah:
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu
Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui
batas.”
(al-‘Araf: 81 ).
Kemurkaan Allah ke atas kaum ini jelas apabila perkampungan kaum Nabi Lut
a.s. diterbalikkan. Firman Allah yang bermaksud:
“Akhirnya Merekapun dibinasakan
oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami
jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus Segala Yang ada di
muka
buminya), dan Kami hujani atasnya Dengan batu dari tanah Yang dibakar.”
(al-Hijr: 73-74 ).
Allah menjadikan perkampungan kaum Nabi Lut yang diterbalikkan itu sebagai
kesan peninggalan sejarah serta bukti kemurkaan Allah.
Ini jelas dalam firmannya yang bermaksud:
“Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu Yang telah
menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan
keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab siksa yang tidak
terperi sakitnya.”
(al-Dzariyaat: 37).
Kebanyakan ahli sejarah menyebut bahawa Laut Mati yang terletak di bumi
Jordan itu asalnya perkampungan kaum Nabi Lut a.s. Maksudnya Allah akan
membinasakan
sesuatu kaum yang melanggar perintahnya, apatah lagi jika melanggar fitrah
yang telah dijadikan bagi manusia mengikut kehendak takdirnya.
Tiada yang tidak boleh berubah, hatta takdir Allah juga boleh berubah dengan
doa yang mustajab.
Bina kehidupan saudara menjadi lelaki yang normal, berkahwin, mendidik
isteri dan anak-anak. Tanggungjawab sebagai seorang lelaki cukup mencabar,
jika kehidupan
ini dicemari dengan nilai-nilai yang negatif apa erti kita menjadi manusia?
Kita adalah sebaik-baik kejadian. Kita telah dan akan terus mulia jika kita
menjadi insan yang soleh, taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta
mengaplikasikan
etika hidup yang harmoni.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: